Sunday, February 6, 2011

Ibu bapa Erin bercerai


Aktres remaja tak nafi gosip cinta Fiza, jurukamera punca perpisahan

PULANG dari percutian di Bangkok minggu lalu, Zubir teruja menonton filem Thai, The Red Eagle di pawagam selepas memborong beberapa keping DVD filem popular dari negara itu di Chatuchak Weekend Market. Namun, 10 minit sebelum filem bermula, Zubir menerima kiriman BlackBerry Messenger (BBM) daripada aktres remaja, Erin Malek, 16, memaklumkan ibu bapanya sudah bercerai!
“Akhirnya abang, mama dengan papa bercerai. Erin dengan adik-adik duduk dengan mama.” Ringkas maklumat yang disampaikan Erin. Dia sebenarnya meleraikan spekulasi yang berterbangan selama ini mendakwa ibu dan bapanya sedang berdepan krisis rumah tangga gara-gara campur tangan pihak ketiga! Memandangkan filem sudah hampir bermula, Zubir meminta Erin menghubungi kembali keesokan hari untuk penjelasan lanjut.
Sebelum ini, Zubir pernah mendedahkan ‘siri kecurangan’ bekas anggota Elite, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 29, yang kini aktif berlakon drama dengan bapa Erin, Malek Marwi, 35, sebagai jurukamera dalam produksi sehingga membawa kepada perceraian bersama suaminya, Ahmed Farriq Zainul Abidin, 30, pada 4 November lalu.

“Fiza menjalin hubungan dengan seorang jurukamera bernama Malek. Sudah beberapa kali saya berjaya mengesan pergerakan mereka. Fiza pula sanggup jadi driver Malek. Fiza mahupun Malek sering menganggap perbuatan mereka itu tidak salah kerana sekadar keluar makan bersama, tapi kalau sudah bercuti bersama, apa cerita?,” dedah Farriq dalam B*POP terbitan 3 Oktober lalu yang ketika itu mereka masih bergelar suami isteri.

Tambah Erin, ibu bapanya mula naik turun mahkamah syariah sejak Disember lalu dan hanya bulan lalu, mahkamah mengesahkan perceraian kedua-dua orang tuanya. Katanya lagi, sejak perceraian itu, dia bersama adik-adik, Fieqa, 15, dan Qiela, 10, kini menetap bersama ibu mereka di Pandan Mewah Heights.

“Gosip cinta antara Fiza dan papa (Malek) adalah punca rumah tangga mama dan papa gagal diselamatkan. Nak marah pun tak guna, benda dah jadi, tak ada apa yang perlu dikesalkan, saya reda. Bagi saya, daripada mama ‘share’ papa dengan orang lain (Fiza), biarlah dia solo,” kata Erin dalam nada kesal.
Sepanjang ‘siri kecurangan’ Fiza dan Malek didedahkan media massa, Erin sentiasa menaruh harapan perkahwinan ibu bapanya mampu diselamatkan. Justeru, apabila Malek menceraikan isterinya, Harryzah Hassan atau Liza, 35, adakah Fiza berpuas hati dapat ‘merampas’ bapa Erin dan apabila soalan itu diajukan kepada Erin, apakah reaksinya?

“Kita tak tahu apa perasaan dia (Fiza). Nak kata dia kesal, mesti dia tak mahu melihat perceraian ini dan cuba selamatkan, tapi tak ada apa-apa pun,” terang Erin lagi.

Pun begitu, daripada risikan yang dijalankan, Zubir mendapat maklumat, kononnya hubungan cinta antara Fiza dan Malek masih berterusan hingga ke hari ini, sampai masing-masing sanggup bercerai berai mempertahankan api cinta mereka. Sementara bekas suami Fiza, Farriq kini bahagia menyulam cinta bersama kekasihnya, Amelia Hassan, 25, Fiza pula dikhabarkan sudah bertemu dengan ibu Malek di Kampung Pandan, Kuala Lumpur meminta restu perkahwinan mereka.

Bagi Zubir, baguslah sekiranya benar perkhabaran itu, jika dulu Fiza dan Malek bergelar ‘kekasih gelap’, mungkin tak lama lagi mereka bakal disatukan sebagai suami isteri. Cuma satu yang Zubir nak lihat sekarang, siapa yang naik pelamin dulu, Fiza atau Farriq? Kononnya dalam diam-diam, bekas isteri Malek, Liza juga sudah ada pengganti, wah hebat masing-masing sudah berpunya!

No comments:

Post a Comment