Sunday, February 6, 2011

Apabila Lisa, Sam menyanyi dalam bas

Penyampai radio Hot FM, FBI gamatkan suasana sepanjang berada di Langkawi

DI sebalik kisah kemesraan Shaheizy Sam (Sam) dan Lisa Surihani di Langkawi serta kehadiran Faizal Ismail (FBI) menceriakan suasana ketika berlangsungnya percutian eksklusif meraikan pemenang peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) di Langkawi, sebenarnya terlalu banyak memori indah yang dapat disimpulkan.
Percutian tiga hari dua malam pada 27-30 Januari lalu yang dianjurkan bersama Berita Harian dan POTO Travel & Tours Sdn Bhd (POTO) itu meraikan dua pemenang GBB, Badiuzaman Mohd Noor, 32, dan Marina Mohamed Roslan, 28. Masing-masing berpeluang membawa seorang kawan.
Selain itu, ia turut membuka peluang kepada peminat dan orang awam untuk turut serta. Keseluruhannya, 35 ahli rombongan menaiki bas termasuk dua calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Shaheizy Sam dan Lisa Surihani.

Percutian itu juga bukan yang pertama membabitkan kerjasama Berita Harian dengan POTO, sebaliknya sebelum ini Erra Fazira pernah dibawa ke Perth, Bandung, Puncak dan Jakarta (Raja Azura dan Que Haidar), Bali (Fara Fauzana, Saiful Apek dan Dafi) dan tahun lalu ke Singapura bersama Linda Onn, Mawi dan Diana Danielle.

Rombongan menaiki bas bertolak pada malam Khamis minggu lalu dan sampai di Jeti Kuala Perlis pada sebelah pagi keesokan harinya. Biarpun semalaman merasai kepenatan berada dalam bas, rombongan terus di bawa ke Kota Mahsuri (dulunya dikenali Makam Mahsuri) dan menaiki kereta kabel di Gunung Mat Cincang.

Komitmen tiga artis terbabit wajar dipuji. Contohnya Lisa dan Sam yang cukup bersemangat menyertai atur cara program yang sudah diaturkan sekalipun pada hari pertama rombongan tidak terus mendaftar masuk ke hotel. Rombongan hanya mendaftar masuk sekitar jam 6 petang pada hari pertama tiba. Namun, apa yang lebih menangkap mata wakil B*POP apabila melihat gelagat FBI yang mula membakar semangat Lisa dan Sam untuk merapatkan jurang bersama peminat dalam bas ketika penyampai radio Hot FM itu saat diundang pihak POTO memanfaatkan mikrofon disediakan.
Pengacara Muzik-Muzik itu yang diketahui sangat petah bercakap mula mengusik rombongan dengan mendendangkan lagu. Ibaratnya FBI seperti lepas gian membuat ‘konsert’ yang turut menampilkan Lisa dan Sam sebagai penyanyi undangan. FBI pernah menghasilkan album duo bersama temannya, Khairil Rashid dengan nama Khafi.

“Saya gembira dapat menyertai acara sebegini buat pertama kali. Saya difahamkan ia juga pengalaman pertama juga buat Lisa dan Sam. Selalunya saya bertemu peminat pun ketika bertembung mereka di tempat awam ataupun ketika turut serta acara membabitkan Hot FM.

Ia cukup menyeronokkan. Cuma saya tak dapat menaiki bas bersama-sama yang lain kerana terikat dengan komitmen kerja di konti radio. Percutian ini juga mendekatkan saya dengan teman wartawan yang selama ini sekadar berjumpa dalam acara hiburan,” katanya yang menyandang tiga tahun berturut-turut kategori Penyampai Radio Lelaki Popular ABPBH musim 2007, 2008 dan 2009 itu.

Sementara itu, bagi Lisa, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 itu juga sebenarnya mempunyai bakat dan potensi dalam dunia nyanyian. Kalau digilap dengan betul dan kena gaya, mungkin selepas pelakon dan pengacara, Lisa boleh pegang status penyanyi pula.

Akui Lisa, dia pernah menjadi penyanyi latar untuk Anuar Zain ketika membuat persembahan di Anugerah Industri Muzik beberapa tahun lalu. Begitu juga penyanyi latar untuk Hazami ketika penyanyi itu melancarkan album sulungnya, Tekad Redha Tabah.

“Lisa pernah ditawarkan Cat Farish ketika dia masih bersama Ruffedge. Ketika itu Cat mahu membentuk sebuah kumpulan penyanyi wanita. Tapi saya tidak cenderung ke arah itu. Kalau tanya sekarang pun, saya rasa belum lagi kerana keutamaan saya masih dalam dunia lakonan,” katanya yang mengakui sangat gemar berkaraoke dengan kawan pada waktu senggang.

Ditanya mengenai percutian GBB ini, Lisa mengakui pada mulanya dia sedikit kekok dan tidak tahu menjangka apa yang bakal terjadi. Namun akuinya, selepas melihat usaha rakan wartawan yang hadir sama, dia tergerak hati melakukan perkara sama bagi memastikan percutian ini menjadi kenangan terindah buat semua.

“Sejujurnya, Lisa jenis manusia yang akan cuba menyesuaikan keadaan dan situasi sebaik mungkin. Kalau lihat di kalangan anda (merujuk kepada wartawan) pun sangat selamba dan gila-gila, jadi kenapa tidak Lisa melakukan perkara yang sama supaya percutian ini tidak jadi hambar.

“Memang hari pertama itu, Lisa akui agak pendiam. Memang agak penat kerana pada sebelah siang sebelum bertolak, saya terbabit dengan satu penggambaran. Tapi alhamdulillah pada hari kedua, semuanya berubah. Aktiviti Island Hopping di Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah amat menyeronokkan.

“Begitu juga acara Amazing Race GBB yang lebih mendekatkan Lisa dengan peminat dan wartawan. Atur cara yang dibikin POTO juga cukup menarik biarpun hanya untuk percutian yang singkat. Alhamdulillah, Lisa gembira sangat menyertai percutian ini,” katanya yang dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular dalam ABPBH 2010.

Sam yang sedang menunggu deretan lima filem cereka tahun ini iaitu 8 Jam, Aku Bukan Tomboy, Sekali Lagi, Kongsi dan Songlap turut mengejutkan rombongan dalam bas dengan menyanyikan beberapa lagu. Boleh tahan suara adik kepada Zizie Ezette itu. Bukan sesuatu yang pelik pun, bidang nyanyian pun asing kepadanya kerana Sam pernah menyertai kumpulan MOB (Members Of Blood) bersama Sein dan Shear.

Kata Sam, menerusi MOB, mereka pernah menghasilkan album kompilasi bergenre R&B dan Hip Hop menampilkan beberapa orang penyanyi termasuk Syafizaz Selamat.

Akui Sam, dia gembira terpilih untuk bersama-sama percutian ini. Cuma akui jejaka yang mula meledak menerusi filem Adnan Sempit itu, dia memang agak pendiam dan pemalu pada hari pertama percutian. Sebagai manusia yang tidak sempurna, Sam mengakui kelemahannya.

“Seperti biasa, saya lebih gemar memantau sesuatu keadaan. Bimbang dan takut juga di awal pertemuan, saya akan bertindak balas secara keterlaluan atau salah cakap. Hari pertama, saya boleh katakan sebagai hari saya mengenal karakter semua yang menaiki bas,” katanya yang hanya menunggu keputusan ibu untuk menunaikan umrah tidak lama lagi, iaitu hadiah yang dimenanginya pada Malam Penghargaan MIG baru-baru ini.

Corat-Coret di Langkawi

Sepanjang menaiki bas, Sam memang tak boleh berenggang dengan Ipad miliknya. Begitu juga Lisa yang cukup setia bertemankan telefon Blackberry. Setahu B*POP, Lisa memang cukup aktif melayan peminatnya di laman Twitter. Lisa juga membawa bekal bungkusan makanan rumpai laut dan mempelawa kepada rakan media. Kata Lisa, makanan itu sering diamalkannya kerana ia sangat bagus untuk penjagaan kulit.

Lisa mengakui fobia menaiki bas kerana kerap mendengar mengenai berita kemalangan maut. Namun untuk percutian ini dan selepas diyakinkan POTO pemandu bas akan memandu dengan cermat, Lisa memberanikan dirinya.

Berbanding hari pertama sewaktu tiba di Langkawi, Lisa dan Sam menyerlahkan perangai masing-masing pada hari kedua. Lagipun pelakon utama filem Sekali Lagi terbitan MIG ini memang kepenatan dek komitmen sebagai anak seni. Pada hari kedua, Sam mengakui dirinya sangat pendiam dan pemalu sudah mula menunjukkan warna sebenarnya. Paling kelakar, anak kesayangan pelakon Khaty Fauziah ini berseloroh dan mengusik peminat serta rakan wartawan dengan gaya lelaki lembut. Perkataan ‘uolsss’ mula meniti di bibirnya.

Faizal Ismail (FBI) tidak menaiki bas kerana terikat dengan komitmen tugasnya sebagai penyampai radio Hot FM sebelah pagi. FBI sampai ke Langkawi menaiki kapal terbang pada petang hari pertama.

Lisa mengakui takutkan monyet. Buktinya sewaktu tiba di Pulau Dayang Bunting, Lisa sudah memberi amaran jangan panggil monyet kerana bimbang binatang itu mendekatinya. Lisa juga agak gementar dan kaku terduduk ketika menaiki kereta kabel. Hal sama turut dirasai FBI yang gayat dan alah dengan faktor ketinggian.

FBI mula menghangatkan suasana di atas bas ketika mengelilingi Langkawi dengan membuat lawak dan aksi spontannya sebagai deejay radio dan pengacara. Ternyata peminat, rakan media, pengurus artis dan pihak POTO Travel & Tours Sdn Bhd (POTO) diwakili Ain, Piko serta Miey terhibur dengan gelagatnya.

Paling melucukan apabila FBI bertukar menjadi Ziana Zain mendendangkan lagu Madah Berhelah. FBI boleh menghafal lirik lagu itu. Barangkali FBI minat Ziana Zain kerana selain lagu itu dia turut menyanyikan lagu duet Awie dan Ziana Zain berjudul Senja Nan Merah. Sesekali Lisa turut mengajuk gaya nyanyian Awie untuk lagu itu.

Lisa juga mendendangkan lagu penyanyi kegemarannya, Awie selain lagu Aerosmith dan Man Bai. Lisa sebenarnya mempunyai bakat nyanyian seperti mana Sam. Sam membangkitkan rasa histeria kecil peminatnya di atas bas apabila mengalunkan lagu Tapi Bukan Aku (Kerispatih) dan Lelaki Ini (Anuar Zain). Lisa turut berduet dengan Sam.

FBI turut mengambil inisiatif menghadiahkan topi bertulis perkataan FBI yang ditempahnya kepada peminat.

Anak buah kesayangan Sam, Mohammad Azrin (anak kepada Samzy Fuzette) menjadi perhatian rakan media dan peminat kerana wajah comelnya. Anak kacukan Mat Salih dan Melayu itu juga tidak sombong dan cepat mesra.

Lisa dan Sam ditemani ibu kesayangan masing-masing, iaitu Siti Amirah Ahmad dan Khaty Fauziah. Kedua-duanya dipanggil dengan panggilan mummy. Ibu masing-masing turut diusik kisah kemesraan anak mereka termasuk usikan untuk berbesan.

Pengurus Pemasaran POTO, Ain Hussin, berkata selepas beberapa kali menjalinkan kerjasama dengan Berita Harian khususnya menerusi acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), POTO Travel & Tours Sdn Bhd (POTO) tidak teragak-agak untuk terus melakukan perkara sama pada masa mendatang.

No comments:

Post a Comment