Kutipan yang dianggap baik selepas empat hari tayangan
TIDAK mengecewakan apabila filem komedi lakonan anak muda yang baru diangkat sebagai Pelakon TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH) Remy Ishak dan Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2005 dan 2008, Maya Karin, berjudul Cun! berjaya mencecah RM600,000 untuk empat hari tayangan.
Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) bersama Nuansa yang mula ditayangkan di 51 pawagam sejak 31 Mei lalu mempunyai kekuatan tersendiri hasil gandingan secocok pasangan yang dikhabarkan sedang bercinta ini.
Pengarah Urusan TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai turut sendiri tidak menafikan kekuatan filem Cun! sehingga mampu mendapat perhatian penonton disebabkan keserasian gandingan pelakon membawakan karektor komedi.
“Salah satu kekuatan filem ini memang daripada gandingan dua pelakon ini yang memang nampak serasi. Penonton tertarik dengan gandingan mereka disebabkan kedua-duanya memang berbakat, serasi dan pasangan yang sama padan walaupun pertama kali membawa watak komedi.
“Selain mereka, pelakon lain yang turut berlakon seperti Faezah Elai, Ning Baizura, Jehan Miskin dan Kartina Aziz juga menjadi dengan karektor komedi mereka.
“Kita juga mendapat maklum balas yang cukup baik daripada semua media yang pernah membuat liputan menyaksikan filem ini sehingga mempengaruhi penonton untuk menyaksikannya,” katanya yang dihubungi Hip.
Filem yang mengisahkan pasangan bercinta itu diakui bukan saja sesuai ditontoni pasangan bercinta, malah elemen kekeluargaan yang kuat dan memberi mesej serta panduan yang baik untuk semua lapisan masyarakat.
“Daripada pemerhatian kita, filem ini memang ramai ditonton oleh pasangan bercinta dan sebenarnya ia juga sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan yang berkeluarga.
“Kita mencadangkan kepada masyarakat agar datang ke pawagam bersama keluarga dan menonton filem ini dan saya tidak menafikan memang ia boleh menghilangkan tekanan,” katanya yang turut dilakonkan oleh Nadia Nissa, Marsha dan Mislina Mustaffa.
Filem Cun! juga bernasib baik kerana tidak berhadapan dengan persaingan yang begitu kuat untuk sepanjang tayangan filem ini baik filem tempatan mahupun filem antarabangsa.
“Filem tempatan yang sedang ditayangkan bersama filem Cun! seperti .... Dalam Botol dan Dilarang Masuk. Bukannya tidak memberi saingan kerana saya berpendapat semua filem itu juga kuat, tetapi Cun! masih bernasib baik kerana kesemuanya dari genre yang berbeza.
“Kita akan terus meningkatkan langkah promosi melalui saluran TV di Astro disamping saya sendiri melihat inisiatif pelakon sendiri menghebahkan mengenai filem ini menerusi blog mereka.
“Cara itu juga dilihat meninggalkan impak yang besar dan boleh mempengaruhi peminat untuk menarik ke pawagam,” katanya.
Filem Cun! arahan Osman Ali menjalani penggambaran di negeri Jelapang Padi, Kedah turut membuka empat pawagam sekitar Kedah untuk tayangan di sana.
Snopsis: Cun
Cerita Cun berkisar kepada seorang pengacara program gosip, Luna, yang kecewa dengan kecurangan kekasihnya, Ryan, yang juga pelakon terkenal. Lalu, tanpa berfikir panjang dia mengajak pembantunya, Tom, pergi ke kampung gadis itu di Kedah.
Di kampung berkenaan, dia berkenalan dengan rakan baik Tom, Atan, jejaka baik hati yang bermulut lancang. Jejaka itu membantu Luna membaiki keretanya yang rosak selepas semalaman terperosok di tepi bendang.
Pada mulanya Luna sukar menyesuaikan diri dengan suasana kampung, namun selepas beberapa hari di situ, dia mula menyukai persekitaran desa yang mendamaikan serta keluarga Atan yang penuh kasih-sayang. Malah, hatinya juga mula terpaut pada pemuda yang bertanggungjawab itu.
No comments:
Post a Comment