ZIZAN Raja Lawak di sisi Tiz Zaqyah! Apa relevannya, tanya teman mengenai gandingan mereka buat julung kali untuk muka depan B*POP ? Adakah Zizan pula menjadi arjuna yang bertakhta di hati Tiz saat ini? Apakah masing-masing sedang mengisi kekosongan hati?
Jawapannya, selain dicalonkan sebagai finalis dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, mereka juga sinonim dengan cerita sensasi terutama membabitkan soal peribadi. Kononnya, masing-masing menjalinkan dengan si polan itu dan ini.
Zizan, 26, pernah bercinta dengan pelakon, Leez Rosli, namun hubungan itu tidak kesampaian. Ia kemudian diikuti beberapa siri gosip yang mengaitkan pemenang tempat kedua program realiti Raja Lawak musim pertama itu dengan Fida (Pantene), Diana Amir dan terbaru pula dikaitkan dengan pelakon baru, Juliana Evans.
Tiz, 23, pula panas dengan kontroversi yang mengaitkannya dengan beberapa orang lelaki terkenal seperti Fizz Fairuz, Rizal Ashram Ramli (Jejai), Remy Ishak dan anak seorang wakil rakyat dikenali dengan nama Aizat. Hingga kini gosip yang dilalui Tiz dan Zizan masih berbekas.
Secara kebetulan juga, Tiz bakal ke lokasi penggambaran filem Cinta Kura-Kura terbitan KRU Studios sekitar bulan ini. Zizan juga difahamkan masih dalam peringkat awal untuk memberi maklum balas membintangi filem arahan Nizam Zakaria itu dengan menyumbangkan suaranya saja bagi karakter Kura-Kura.
Kata Tiz yang kini menyerlah menerusi lakonannya dalam drama Gemilang arahan Kabir Bhatia di TV3, kontroversi akan terus datang tanpa diundang. Kontroversi katanya, diibaratkan seperti cili potong atau sambal belacan yang menjadi kemestian sesetengah orang apabila menjamah nasi bersalam ulam-ulaman.
“Saya hanya mampu mengikut aturan perjalanan hidup ini selepas memilih untuk bergelar pelakon sejak 2006. Orang kata gosip dan kontroversi itu asam garam dunia hiburan. Memang benar, kita tidak mampu mengelaknya lagi dan hanya mampu menerimanya dengan tangan dan hati terbuka.
“Ada yang kata gosip dan kontroversi itu mempopularkan diri artis. Ia terpulang. Tapi saya tidak memilih untuk popular cara begitu. Baik atau buruk, natijahnya diri sendiri saja yang tahu. Kadang-kadang tertekan juga kenapa dalam sesetengah gosip hanya satu pihak saja bersuara dan pihak yang lagi satu berdiam saja,” katanya yang cukup diingati dengan watak Nur Amina di dalam drama Nur Kasih yang disiarkan di TV3 pada 2009.
Kata Tiz, dia tidak sesekali akan berputus asa atau lemah semangat dengan setiap ‘pertuduhan’ atau ‘hukuman’ yang dijatuhkan kepadanya tanpa usul periksa. Sambil berseloroh, Tiz mendendangkan bait lirik lagu Beautiful nyanyian Christina Aguilera berbunyi ‘Yes, words can't bring you (Tiz) down’.
“Saya tidak akan sesekali meninggalkan dunia seni ini hanya kerana gosip dan kontroversi yang dihadapi. Tidak semestinya apabila memegang status single, saya akan terus-terusan dikaitkan sewenang-wenangnya dengan lelaki itu dan ini. Dengan Remy pun seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, dia memang antara teman akrab yang saya selesa bersama. Kami banyak berkongsi banyak benda. Ada masa kami selalu melepak dengan teman masing-masing. Ia satu persahabatan yang sihat,” kata yang akan melaram rekaan Alia Bustaman untuk malam kemuncak ABPBH 2010 3 April nanti.
Malas jawab soalan remeh
Ditanya mengenai sikapnya yang dikatakan sering menjawab soalan dengan sikap main-main kepada sesetengah pihak media, Tiz melihat perkara itu bukan isu yang perlu diperbesarkan.
“Kalau isu diajukan itu tidak betul dan tidak sahih kebenarannya, mengapa perlu saya menjawabnya dengan serius. Kalau serius, saya akan menjawabnya dengan penuh diplomasi. Cuma saya jadi malas nak menjawab soalan yang sama berulang kali. Ia sekali gus akan memanjangkan isu diperkatakan,” katanya yang bakal muncul dengan filem sulung Nur Kasih dijangka 19 Mei ini.
Mengenai Zizan, Tiz berkata, dia sangat meminati lawak dan idea spontan jejaka itu saat berlakon dan mengacara. Katanya lagi, Zizan mempunyai bakat yang cukup semula jadi.
“Tengok sajalah bagaimana perjalanan fotografi ini berlangsung. Dia (Zizan) memang kuat menyakat. Saya pula jenis yang senang gelak apabila ada orang buat lawak. Saya pernah berlakon telefilem Suzana bergenrekan komedi dengan Along Raja Lawak dan disiarkan di TV3 sebelum ini,” katanya.
Mengenai pencalonannya tahun ini dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular yang dimenangi tahun lalu, Tiz tidak berharap apa-apa. Tahun lalu pun, kata Tiz, dia tidak meletakkan sebarang harapan, namun tuah menyebelahi dirinya untuk mencatat kejayaan di ABPBH 2009.
Sedia terima artis sebagai jodoh
Sementara itu, Zizan menegaskan bahawa dirinya masih single. Ungkapnya lagi, gosip kebelakangan ini membabitkan dirinya boleh disifatkan liar. Namun menyedari dirinya sebagai figura awam, jejaka kelahiran Dungun, Terengganu ini tidak sesekali melatah dengan apa yang melatari kanvas seninya.
“Saya sedar kalau selalu kisah sebegini, masyarakat akan jadi jelak. Tapi sebagai manusia biasa sekali pun, soal hati ini sering menjadi topik persoalan hidup kita. Ada yang kita harapkan berakhir dengan baik tetapi ia terjadi sebaliknya.
“Jujur ada juga hati saya kepada seseorang (merujuk kepada wanita yang pernah dikaitkan dengannya) tapi apakan daya ia tidak kesampaian. Kita hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan. Selepas apa yang terjadi, saya lebih suka memilih orang biasa. Tapi kalau datang jodoh dengan artis, saya tak mampu menghalang,” katanya yang pernah memenangi trofi Favourite TV Personality Award di Shout! Awards tahun lalu.
Empat tahun melayari arena seni, Zizan boleh berbangga dengan apa yang dicapainya. Tahun ini namanya disenaraikan lagi untuk kali ketiga dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular bersaing dengan semua bakat yang dilahirkan daripada program Raja Lawak iaitu Nabil, Along, Angah dan Johan.
Malah, lebih membanggakan Zizan turut disenaraikan buat pertama kali dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular. Kebangkitan Zizan turut dikatakan sebagai isyarat mengambil tempat Aznil Nawawi yang selama ini cukup kental dalam kategori terbabit.
Melihat kepada populariti yang diraih hos program Raja Lawak musim kelima itu, ada ramalan yang mula bertebaran mengandaikan posisi Bintang Paling Popular itu bakal menjadi miliknya. Selain itu, nama Lisa Surihani dan Shaheizy Sam turut menjadi sebutan.
Zizan berhenti merokok
“Bagi saya Aznil Nawawi masih seorang pengacara yang hebat. Beliau sangat mantap dalam aspek pertuturan, peribadi dan pesona diri. Saya mengikuti perjalanan seninya. Jika saya menang sekali pun dalam kategori itu, Aznil tetap nombor satu di mata saya.
“Soal menang atau tidak, saya hanya mampu berserah. Bagi saya berada di kelompok top 5 itu sebenarnya sudah menjadi kemenangan besar buat diri ini. ABPBH sendiri menjadi anugerah Malaysia kepada bakat orang Malaysia. Saya sendiri diangkat daripada program yang diundi peminat,” kata Zizan yang sedang menanti tayangan filem Hantu Bonceng, KL Gangster dan Baik Giler.
Gemerlapan yang dilaluinya kini juga bukan alasan untuk terus mendabik dada, malah Zizan sentiasa terbuka untuk sebarang kritikan, komen dan pandangan membina sekali gus untuk mengukuhkan legasi seninya. Zizan juga bersyukur dia tidak naik mendadak.
“Saya tidak ralat lambat naik. Malah saya bersyukur banyak belajar dengan menimba pelbagai pengalaman selama ini. Ada bagusnya saya meniti perjalanan seni dengan bertatih. Kalau saya naik mendadak dan mengejut, barangkali saya akan menerima kejutan budaya. Siapa tahu, saya mungkin lupa diri.
“Saya masuk dunia seni ini pun untuk mencari glamor sementara. Saya mahu bertahan. Kalau ada kelemahan, tegurlah saya dan saya akan perbaiki. Saya hanya mahu membuat peminat senang dan terhibur dengan kerjaya yang saya pilih,” katanya yang aktif berinteraksi dengan peminat menerusi medium Twitter dan Facebook.
Mengakhiri temubual, Zizan turut ditanya mengenai Tiz. Kata Zizan yang sudah setahun lebih berhenti merokok, dia mula meminati wanita putih gebu itu menerusi drama Nur Kasih. Tiz baginya seorang pelakon yang bijak bermain dengan emosi hingga mampu membuat dirinya terpaku di depan TV tanpa mengalih ke saluran lain.
“Oh ya, sebelum terlupa, kalau ada mana-mana pihak ingin mendapatkan kerjasama saya untuk kempen Katakan Tidak Kepada Merokok, saya amat berbesar hati untuk turut serta,” ungkapnya bersemangat.
Profil Tiz Zaqyah
NAMA: Tiz Zaqyah Abdul Razak
PANGGILAN KOMERSIAL: Tiz
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1988
USIA: 23 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak bongsu daripada dua beradik
STATUS: Bujang
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
DRAMA: Gol & Gincu, Impian Illyana, Nur Kasih, Asmaradana, Spa Qistina, Gemilang
TELEFILEM: Bernafas Dalam Lumpur, Puaka Topeng Putih, Keabadian Cinta, 7 Lagu
FILEM: Nur Kasih dan Cinta Kura-Kura
PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 09)
Profil Zizan
NAMA PENUH: Mohd Razizan Abd Razak
TEMPAT LAHIR: Dungun, Terengganu
TARIKH LAHIR:15 April 1984
PENCAPAIAN: Naib Juara Raja Lawak Astro musim pertama, Favourite TV Personality Award di Shout! Awards
FILEM: Hantu Bonceng, KL Gangster dan Baik Giler.
No comments:
Post a Comment