Sekalipun bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu cekal berhadapan dengan gosip, namun sejak akhir-akhir ini semakin kerap pula khalayak mempersoalkan tentang kisah rumah tangganya yang dikatakan sedang dilanda krisis.
Semuanya gara-gara dakwaan kononnya si suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin mempunyai hubungan rapat dengan seorang wanita di tempat kerja.
Gosip yang diperkatakan itu bukanlah baru kerana sebelum ini Erra sendiri pernah berulang kali menafikan apa yang dihebahkan, sekali gus menyangkal kebenaran khabar angin tersebut.
Mungkin khabar angin itu reda seketika. Tetapi baru-baru ini, dalam satu ruangan gosip yang ke udara di sebuah stesen radio swasta, timbul perihal rumah tangga seorang pelakon dan penyanyi popular yang sedang dilanda masalah kerana suaminya mempunyai hubungan dengan rakan sekerja.
Sinonim dengan gosip yang pernah melanda Erra, ramai membuat telahan gosip di radio itu ada kaitan dengan rumah tangga Erra - Emran.
Buat kesekian kalinya, sewaktu Hits berkesempatan bertemu dengan Erra di majlis pengumuman aktiviti Erra Art Club di Borders, The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini, sekali lagi soalan yang sama terpaksa diajukan.
“Saya tidak ambil kisah dengan gosip itu. Memang kalau diikutkan bunyinya seperti gosip yang pernah melanda saya dahulu tetapi mungkin yang dimaksudkan dalam gosip kali merujuk kepada orang lain.
“Kita sebenarnya tidak tahu siapakah yang mereka maksudkan di sini, oleh sebab itu saya tidak mahu ambil serius mengenai perkara itu.
“Saya juga tidak menafikan bahawa saya pernah terdengar gosip yang mengaitkan suami saya. Namun seperti yang pernah saya nyatakan dahulu, selagi tiada bukti yang sahih, saya tidak akan ambil peduli,” kata Erra dalam nada tenang.
Erra sedar, apabila dia berkecimpung dalam dunia yang penuh glamor ini, dirinya memang tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai gosip yang kadang kalanya menimbulkan fitnah.
Namun, katanya, untuk apakah dia cepat melatah andai akhirnya nanti hanya akan mempamerkan kebodohan diri sendiri.
Erra dengan nada gurau menjelaskan, dia pernah menyuarakan tentang gosip tersebut kepada suaminya, namun dia tidak mahu memandang perkara yang samar sebagai sesuatu yang boleh mendatangkan amarah.
Sebelum bernikah dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, Erra yang pernah mendirikan rumah tangga dengan salah seorang anggota KRU, Yusry Abdul Halim menjanda selama dua tahun.
Bersama Yusry, anak didik Pengarah Six Million Dollar Man, Datuk Yusof Haslam itu tidak dikurniakan cahaya mata.
Apabila berkahwin buat kali kedua, Erra dan Engku Emran dikurniakan seorang puteri, Engku Aleesya yang bakal menginjak ke angka usia dua tahun pada 30 Mac ini nanti.
Natijah dilanda gosip liar terus menyelubungi Erra sehingga membuatkan dia terpanggil untuk menyangkal dakwaan yang kononnya pernah mendapatkan khidmat kaunseling berikutan krisis yang melanda rumah tangganya.
Mungkin sudah menjadi lumrah aktres cantik ini, apa sahaja yang dilakukannya mendapat perhatian.
Maka itulah, apabila tidak kelihatan kelibat suami, Engku Emran sewaktu Erra mendukung watak sebagai Tun Dr. Siti Hasmah dalam pementasan di Istana Budaya tahun lalu, kisah nista rumah tangganya terus dijaja.
Kata Erra, apa lagi yang mampu dilakukannya selain daripada berdoa agar gosip yang tidak berasas itu cepat reda dan senyap begitu sahaja.
Pasak dalam minda
Bukan itu sahaja, malah Erra juga mengharapkan apa-apa sahaja gosip yang melanda dirinya selepas ini, biarlah mempunyai bukti yang kukuh.
“Hal sebegini bagi saya tidak sepatutnya menjadi isu sehingga memberi tekanan dalam hubungan kami suami isteri. Bukankah ia hanya membuang masa.
“Dalam hidup ini kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan kerana kehidupan ini hanyalah bersifat sementara.
“Walau macam mana sayangnya kita kepada seseorang itu, jika bukan kita yang akan pergi meninggalkan dia, mungkin dia yang tinggalkan kita.
“Itu adalah kata-kata yang saya pasak dalam minda sebab itu kita tidak boleh kata, tidak bersedia dengan sebarang kemungkinan,” tegas Erra.
Bercerita tentang ramai artis yang mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelamatkan rumah tangga mereka, kata Erra, itu merupakan langkah yang baik demi menyelamatkan sesebuah rumah tangga.
“Bagi saya, tidak salah kalau ada pasangan yang mendapatkan khidmat kaunseling bagi menjernihkan hubungan dalam rumah tangga.
“Kalau cara itu terbaik, apa salahnya. Ini bermakna mereka ada niat untuk pulihkan kembali keadaan dan berbaik-baik semula,” kata Erra yang pernah dua kali dinobatkan sebagai Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Soal Hati (2001) dan Hingga Hujung Nyawa (2005).
Ditebak pula dengan soalan, bagaimanakah pandangan Erra jika sesi kaunseling yang dihadiri dihebahkan kepada orang ramai sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi negatif dan terkesan kepada pasangan tersebut?
Kata pelakon filem Sembilu itu, tidak seharusnya tindakan pasangan berjumpa kaunselor bagi mendapatkan khidmat nasihat disalahertikan oleh khalayak.
Ini kerana, katanya, apabila orang kecoh melihat mana-mana pasangan artis menghadiri sesi kaunseling, secara tidak langsung mereka akan jadi takut untuk ke sana lagi.
“Apa pun, semuanya terserah kepada individu. Bagi Erra, yang penting sekarang fokus kepada kerjaya di samping melihat tumbesaran anak.
“Aleesya pun sudah banyak ragam. Malah dia sudah pandai main deram. Masa inilah dia perlukan perhatian daripada ibunya.
“Andai kata Tuhan mahu mengurniakan seorang lagi cahaya mata dalam waktu terdekat ini, saya tak akan menolak malahan menerimanya dengan penuh kesyukuran,” kata Erra pasrah.
google: erra fazira, masalah rumahtangga erra fazira, krisis rumahtangga erra fazira, erra fazira dan suami, gambar terbaru anak erra fazira, erra fazira dan anak, foto gambar terkini terbaru anak erra fazira, gosip rumahtanggan erra fazira, suami erra fazira
No comments:
Post a Comment