Sementara majlis resepsi akan berlangsung pada hari yang sama bermula pukul 12 tengah hari di rumah pengantin perempuan di Taman Muhibbah, Lebuhraya Sultanah Bahiyyah, Alor Setar.
Pelakon Semanis Janji dan Antara Maruah dan Pengorbanan itu bakal menerima tujuh dulang berbalas sembilan dulang kepada pengantin lelaki termasuk wang hantaran RM1,888.89 dan mas kahwin RM1,111.11.
Menyentuh tentang angka wang hantaran dan mas kahwin itu, Shahriza akui kedua-duanya mempunyai makna simbolik untuk mencapai kebahagiaan dan kemakmuran dalam menempuhi alam rumah tangga.
“Majlis perkahwinan kami dilakukan secara kecil-kecilan sahaja tetapi sangat bermakna. Sebelum majlis nikah, keluarga saya akan mengadakan majlis Burdah pada pukul 9 pagi di rumah kami.
“Kami merancang untuk membuat satu kenduri sahaja untuk kedua-dua belah pihak setelah memikirkan tentang kos. Tetapi jika ada rezeki, kami merancang untuk membuat majlis doa selamat di Kuala Lumpur nanti,” ujarnya yang turut bergelar penulis skrip dan pengarah drama.
Shahriza juga pernah menjadi penolong pengarah di samping Saddiq untuk klip video lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur nyanyian Ana Raffali. Saddiq terlibat dalam kerja di belakang tabir dan bergelar pelakon.
Kedua-duanya akan mengenakan dua persalinan tajaan Zeellion Bridal Gallery & Beauty untuk majlis akad nikah dan persandingan bertemakan warna hijau.
Pasangan yang bercinta selama lima tahun ini telah lama merancang untuk berkahwin bagaimanapun mereka mula serius tentang perkahwinan setelah keluarga Saddiq menghantar rombongan merisik ke rumah Shahriza pada Disember lalu.
“Ikutkan, sejak tahun pertama kami bercinta lagi Saddiq dah ajak saya berkahwin tetapi waktu itu keadaan tidak mengizinkan tambahan pula sibuk dengan kerja masing-masing.
“Setelah lama tertangguh, akhirnya ibu dan bapa saya bersuara dan meminta kami memikirkan tentang perkahwinan sebelum mereka mengerjakan haji di Mekah pada November tahun lalu.
“Jadi, sejak dari itu kami mula berbincang dan merasakan sudah tiba masanya untuk berkahwin. Pada mulanya kami memilih bulan Disember lalu tetapi terpaksa tangguh kerana bertembung dengan majlis pertunangan adik saya. Selepas itu kami memilih tarikh 1 Januari lalu tapi tidak menjadi juga kerana persekolahan baru bermula,” kata Shahriza kepada mStar Online.
Shahriza yang pernah berkahwin sebelum ini akui Saddiq merupakan lelaki yang mudah serasi dan mempunyai banyak persamaan dengannya.
“Hubungan kami sangat unik. Mengenali Saddiq, dia merupakan seorang yang ego dan keras kepala seperti saya. Tetapi yang peliknya apabila kami bergaduh, kami cepat berbaik semula dan melupakan pergaduhan itu.
“Yang membuatkan saya terharu apabila dia berani melamar saya selepas dua minggu kami berkenalan,” ceritanya lagi.
Seramai 600 tetamu yang dijangka akan menghadiri majlis perkahwinan Shahriza dan Saddiq termasuk keluarga kedua-dua belah pihak, kawan-kawan dan rakan artis.
Bagaimanapun, Shahriza turut memberikan peluang kepada para peminat untuk menghadiri majlis pernikahan mereka itu.
Selepas berkahwin, Shahriza masih meneruskan kariernya sebagai pelakon, penulis skrip dan pengarah selain mengusahakan syarikatnya, Master Shot Event yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu.
“Saya masih lagi membuat kerja yang sama cuma tidak seaktif dulu kerana banyak menumpukan kepada syarikat saya yang mengendalikan acara seperti bengkel penulisan skrip, motivasi, majlis makan malam, percutian secara kecil-kecilan,” katanya.
Bercerita tentang bulan madu, pasangan ini dijangka akan ke Cameron Highlands pada dua hari selepas majlis pernikahan dan seterusnya ke Pulau Redang pada waktu yang sesuai.
No comments:
Post a Comment